Monday, July 20, 2009

Konsep Penggunaan Kad Kredit Dalam Islam


Kalau suatu masa dahulu, keghairahan untuk membeli belah hanya tertumpu kepada kaum wanita sahaja. Namun sejak kebelakangan ini, kaum lelaki juga tak kurang hebatnya. Yang berbezanya hanya kategori pembelian barang, kalau lelaki lebih kepada barang-barang seperti telefon bimbit, alatan perhiasan kereta, peralatan ICT, wanita pula dengan barang perhiasan diri serta rumah.

Apa yang dibimbangkan adalah jualan murah kembali lagi! Ketika ini orang ramai berpusu-pusu berbelanja di pusat membeli-belah mengambil peluang musim jualan murah yang dijangka berakhir pada awal September. Di samping mendapatkan barang-barang keperluan, ada juga yang berbelanja berlebihan hingga melangkaui kemampuan. Kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca satu laporan Oleh Zunaidah Zainon yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia .

Bagi pemegang kad kredit, mereka menggunakannya secara meluas sehingga kadangkala `terlupa' tentang bil yang perlu dibayar.

Penggunaan kad kredit mempunyai pelbagai pendapat. Sesetengah individu yang bijak merancang perbelanjaan bulanan, tentu tidak menghadapi masalah dalam penggunaan kad kredit. Tetapi bagaimana pula halnya dengan individu yang suka dengan gaya hidup mewah dan menggunakan kad kredit untuk mencapai impiannya?

Menurut pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Awang Hamat, individu yang tertarik pada gaya hidup mewah tetapi tidak mampu akan cenderung menggunakan kad kredit dengan rakus. Akhirnya mereka terlibat dengan hutang.

"Mereka mahu bergaya dan nampak mewah tetapi jika mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi, itu akan menggalakkan mereka menggunakan kemudahan kad kredit ke arah yang negatif.

"Inilah masalah utama yang melanda sebahagian pemegang kad kredit hingga akhirnya mereka muflis kerana dibebani dengan hutang keliling pinggang," jelas beliau.

Secara tidak langsung fenomena ini akan memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Rasulullah s.a.w. bersabda, "hutang akan menjadikan seseorang berada dalam kesedihan pada waktu malam dan susah hati pada waktu siang."

Ia berlaku kerana mereka takut untuk berjumpa dengan si pemberi hutang atau dikejar pihak bank.


Dibebani hutang

Berhutang juga menyebabkan institusi kekeluargaan semakin rapuh. Tuntutan untuk memenuhi keperluan utama anak-anak tidak dapat dipenuhi kerana ibu bapa dibebani hutang yang banyak. Masyarakat juga memandang serong terhadap individu yang suka berhutang untuk memiliki kehidupan mewah.

Bagi mereka yang berhutang, apabila mati sebahagian fuqaha menjelaskan bahawa nyawanya tidak diangkat ke langit. Sebaliknya ia tergantung antara langit dan bumi sekalipun mereka mati syahid. Ini menunjukkan bahawa kesan berhutang amat besar dalam hidup seseorang hingga Allah s.w.t. turut melaknat perbuatan mereka.

Dalam Islam, hutang adalah perkara yang tidak digalakkan sebagai mana terkandung dalam beberapa hadis riwayat Bukhari. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada dilanda hutang dan kekuasaan orang lain ke atas aku." Baginda juga bersabda, "Kerana jika seseorang itu berhutang, maka apabila bercakap, ia akan berdusta, maka apabila berjanji, ia akan memungkiri."

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang itu mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya, kemungkinan Allah s.w.t. memberi kemudahan untuk membayarnya. Sebaliknya, apabila mengambil hutang tetapi tidak mahu membayarnya, maka Allah akan membinasakannya. "

"Rentetan daripada penampilan kad kredit dalam bentuk yang tidak terkawal akhirnya akan membawa kepada dunia hutang. Bahkan mereka tiada kemampuan untuk membayarnya sedikit demi sedikit.

"Akhirnya ada orang mencari jalan untuk tidak membayarnya. Dalam hadis di atas, Allah s.w.t. akan membinasakan sesiapa yang berhutang, maknanya balasannya sama ada namanya akan disenaraihitamkan, pergerakannya tersekat atau menanggung malu," jelas Mohd. Afandi.

Penggunaan kad kredit secara dasarnya terbahagi kepada dua iaitu mengikut syariat dan kaedah konvensional. Berdasarkan fatwa oleh Majmak Fiqh al-Islami, penggunaan kad kredit yang tidak berasaskan syariah iaitu memberi peluang kepada pelanggan untuk bayar dalam tempoh tertentu tanpa dikenakan riba adalah diharuskan dengan syarat hutang dilangsaikan tanpa dikenakan faedah yang tinggi.

Islam membenarkan dimudahkan urusan seperti mana sabda Rasulullah s.a.w.: "Permudahkan, jangan kamu menyusahkan. " (Riwayat Muslim)

Konsep kad kredit untuk memudahkan orang ramai membayar bil dan membeli dibenarkan dengan syarat tiada unsur-unsur riba.

"Kebiasaannya, orang yang menggunakan kad kredit untuk kemudahannya akan berbelanja mengikut kemampuan. Adalah lebih selamat membawa kad kredit berbanding wang tunai kerana dikhuatiri menjadi mangsa ragut atau rompak.

"Tidak kurang juga ada yang menggunakannya dengan tujuan untuk berhutang sedangkan faedah yang dikenakan pihak bank amat tinggi. Sekiranya tidak mampu mengawal perbelanjaan, elakkan menggunakan kad kredit kerana ia akan mengundang padah pada diri sendiri," nasihat beliau.

No comments: